Petugas Hospital Al-Shifa di Bandaraya Gaza pada Sabtu melaporkan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sesiapa sahaja yang mahu keluar dari hospital itu. Foto: AFP

Tentera Israel tembak sesiapa sahaja yang keluar dari Hospital Al-Shifa – Doktor

ByBernama

GAZA, 12 Nov: Seorang doktor di Hospital Al-Shifa di Bandaraya Gaza pada Sabtu melaporkan bahawa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sesiapa sahaja yang mahu keluar dari hospital itu.

Seorang pakar sakit puan Fadia Malhis ketika dihubungi Agensi Anadolu berkata tentera Israel mengepung kawasan hospital dan jarak mereka hanya satu meter dari pintu hospital.

“Mereka menembak sesiapa sahaja yang cuba keluar dari hospital termasuk saya. Jika ada sesiapa yang bergerak antara unit-unit, mereka juga ditembak. Terdapat banyak jenazah di pekarangan bilik kecemasan, keadaan sangat teruk dan berbahaya, ia sukar untuk digambarkan.

“Ia umpama sebuah penjara tanpa air, elektrik atau makanan. Terdapat lebih 100 jenazah di pekarangan hospital. Mereka menembak sesiapa yang cuba mengebumikan jenazah. Kawasan pekarangan hospital penuh dengan jenazah,” kata doktor itu.

Beliau berkata terdapat 60 bayi di unit rawatan rapi, 39 daripadanya ditidurkan (intubate), seorang bayi meninggal dunia pada sebelah petang dan bayi-bayi ini mungkin akan mati seorang demi seorang akibat kekurangan bahan api.

“Tolong, selamatkan kami, hentikan perang ini, jika tidak kami akan mati. Ada orang mati di mana-mana sahaja. Selamatkan kami, keadaan sangat teruk,” katanya. -TVS