Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian melawat pameran dan melihat salah satu hasil karya pelukis. Foto: TVS

Realisasi Galeri Seni Sarawak, serlah seni tempatan

ByTVS

KUCHING, 11 Nov: Persatuan Pelukis Sarawak berharap agar pembinaan Galeri Seni Sarawak dapat direalisasikan secepat mungkin bagi menghargai hasil karya bakat seni tempatan.

Pengerusinya, David Chew berkata, persatuannya itu bersedia untuk bekerjasama dalam mewujudkan galeri yang penuh dengan karya kualiti tinggi, malah mahukan Kerajaan Sarawak mempertimbangkan pengumpulan karya seni pelukis tempatan bagi tujuan mencantikkan pejabat dan bangunan kerajaan.

David Chew ketika berucap di Majlis Perasmian Pameran Seni Tahunan Ke-38 Persatuan Pelukis Sarawak: ‘Borneo Symphony’. Foto: TVS

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan dua prekära yang kami cadangkan iaitu yang pertama untuk merealisasikan Galeri Seni Sarawak secepat mungkin dan bersedia untuk memberi karya yang berkualiti.

“Perkara kedua, saya ingin menggesa kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk mengumpul karya seni artis tempatan untuk mencantikkan pejabat dan bangunan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Seni Tahunan Ke-38 Persatuan Pelukis Sarawak: ‘Borneo Symphony’ di The Spring Shopping Mall malam tadi.

David melihat bahawa bidang seni ialah satu platform yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi sekali gus menggalakkan keterangkuman sosial.

“Seni boleh memperkayakan masyarakat, menggalakkan keterangkuman sosial, menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan kita.

“Dalam era transformasi digital ini yang teknologi terus maju, seni kekal sebagai asas kemanusiaan, mengimbangi dunia yang pantas dengan penghayatan keindahan, pemikiran yang lebih mendalam dan kreativiti,” ujarnya.

Majlis itu turut menyaksikan Pelancaran Buku Seni Persatuan Pelukis Sarawak dan Pelancaran Pameran Seni yang berlangsung dari 10 sehingga 26 November 2023 di Tingkat 1, The Spring Shopping Mall dengan menampilkan 63 karya seni daripada 50 artis.

Untuk rekod, pameran seni itu juga menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan seni, termasuk bengkel, forum dan demonstrasi yang melibatkan bakat seni persatuan tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. – TVS

Berita Berkaitan