Dato Sri Lee Kim Shin bergambar bersama peserta. Foto: TVS

Miri persiap atlet silat harungi SUKMA 2024

ByTVS

MIRI, 11 Nov: Miri yang akan menjadi lokasi acara silat bagi Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Sarawak pada tahun hadapan perlu mempersiapkan atlet silat mereka terutamanya pesilat dari kawasan Zon Utara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berharap lebih ramai atlet dari Miri atau Zon Utara dipilih untuk mewakili SUKMA akan datang.

“Sebab itu hari ini kita akan memilih atlet atau pesilat untuk mewakili Zon Utara di Bintulu, Miri, Limbang, Lawas dan Marudi,” katanya semasa Perasmian Kejohanan Pemilihan Atlet Silat ke Sukan Sarawak (SUKSAR) Zon Utara di Kampung Sukan Petronas Miri hari ini.

Beliau turut mengingatkan para atlet untuk berlatih dalam tempoh sebelum SUKMA, selain guru silat memberi perhatian ke atas perkembangan mereka.

“Daripada para pesilat ini, kita juga akan memilih mereka yang boleh mewakili Sarawak dalam SUKMA dan saya faham kita punya ramai pesilat Miri yang akan dipilih mewakili SUKMA.

“Saya harap dalam tempoh beberapa bulan ini, berlatih dengan bersungguh-sungguh dan para guru beri perhatian berat kepada atlet kita supaya atlet kita di Miri boleh mengharumkan nama Rumpun Silat Sarawak (RSS) Miri,” katanya.

Kim Shin juga menyumbang geran sebanyak RM10,000 kepada RSS Miri dalam usaha melatih dan mencungkil bakat muda pesilat ke peringkat yang lebih jauh.

Seramai 60 pesilat dan pegawai teknikal yang terlibat dalam kejohanan ini bagi mengenal pasti pesilat yang akan mewakili SUKSAR Zon Utara yang akan diadakan di Sibu pada Januari tahun hadapan. – TVS