Suliman Jamahari (duduk, tengah) merakam gambar kenangan bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Hutan Sarawak di Majlis Perasmian Expo NTFP 2023, zon tengah di Kuching pada Jumaat. Foto: TVS

Lestarikan sumber semula jadi, kurangkan kebergantungan kepada sumber kayu

ByTVS

KUCHING, 11 Nov: Expo Program Kesedaran Komuniti mengenai Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) berperanan untuk menjaga sumber semula jadi dengan mengetengahkan hasil produk alternatif, selain mengurangkan kadar kebergantungan komuniti terhadap sumber kayu khasnya kayu balak.

Penolong Pengarah Hutan, Bahagian Perhutanan Sosial, Suliman Jamahari berkata, penglibatan secara aktif para komuniti dalam expo itu dipercayai mampu meningkatkan kualiti sekali gus memperbaiki kelestarian alam sekitar.

Lestarikan sumber semula jadi, ketengah produk alternatif | TVS

Menurutnya, expo yang diketengahkan pihaknya adalah untuk mempamerkan serta menjual hasil hutan bukan kayu karya daripada penduduk tempatan Sarawak.

“Semua produk yang dibawa adalah hasil bahan-bahan yang berasaskan sumber hutan seperti madu lebah, kraf tangan dan ukiran kayu. Melalui usaha ini, ia berperanan sebagai satu langkah proaktif untuk mengekalkan sumber hutan seperti hutan tropika.

“Expo ini adalah berkaitan dengan penjualan dan hasil bukan kayu iaitu secara amnya adalah seperti madu lebah kraf tangan dan juga ukiran kayu dan makanan berasaskan daripada hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Expo NTFP 2023, zon tengah di Kuching pada Jumaat.

Katanya, Jabatan Hutan bukan sahaja berperanan untuk menjaga hutan tapi lebih daripada itu iaitu mengetengahkan hasil bukan kayu daripada hutan tropika.

“Selain itu, expo NTFP ini juga mempunyai empat objektif utama yang ingin diterapkan kepada peserta dan komuniti. Antaranya adalah menggalakkan penglibatan komuniti, memperkukuhkan pengeluaran NTFP dan mempromosikan produk NTFP.

“Expo ini secara tidak langsung juga telah meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat,” ujarnya.

Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12) telah meluluskan peruntukkan berjumlah RM 8.7 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk Program Kesedaran Komuniti NTFP bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun 2021 hingga 2025.

Pada tahun 2023, sejumlah RM 1.4 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti pembangunan modal insan, promosi dan pemasaran, program kesedaran, program tambah nilai NTFP dan sebagainya melalui penglibatan komuniti tempatan. -TVS