GEDONG, 11 Nov: TVS mengedarkan sebanyak 300 unit dekoder MYTV kepada penerima eKasih di Gedong sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), TVS Prihatin.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Kushairi Abang berkata, ini merupakan inisiatif TVS untuk memberi peluang kepada penduduk yang terpilih, menikmati siaran televisyen percuma di rumah.
“Inisiatif pengedaran dekoder percuma ini akan terus dilaksanakan secara berperingkat-peeringkat di daerah-daerah yang lain di Sarawak,” katanya ketika berucap di program TVS Prihatin di sini, hari ini.
Dalam program yang sama, satu majlis simbolik penanaman pokok di Masjid Al-Kawthar turut diadakan dengan kerjasama Development Bank of Sarawak Berhad (DBOS) yang mana ia mencerminkan sokongan kedua belah pihak dalam menyokong inisiatif ekonomi hijau, selain menyumbang semula kepada komuniti setempat.
“Acara ini bagi merealisasikan komitmen TVS untuk memelihara alam sekitar,” ujar beliau.
TVS Prihatin merupakan program CSR yang dianjurkan sempena ulang tahun ketiga sejak TVS ditubuhkan.
Majlis itu dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Program turut menjemput agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dan organisasi yang berkaitan seperti LePapa Hypermarket, Petronas, Mahsuri Foods, Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, Unifi TV, Affin Bank, Jabatan Kebajikan Sarawak, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) serta Lembaga Tabung Haji untuk turut terlibat dalam program sehari itu. – TVS