Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Lalu Muhammad Iqbal dalam suatu kenyataan menafikan tuduhan Israel bahawa Hospital Indonesia di Semenanjung Gaza digunakan sebagai persembunyian kumpulan Hamas. Foto: TVS

Indonesia nafi tuduhan Israel, Hamas sembunyi di Hospital Indonesia di Gaza

ByTVS

JAKARTA, 7 Nov: Kementerian Luar Negeri Indonesia menafikan tuduhan Israel berkaitan Hospital Indonesia di Semenanjung Gaza digunakan untuk menempatkan persembunyian kumpulan Hamas.

Jurucakap kementerian, Lalu Muhammad Iqbal, menegaskan Hospital Indonesia di Gaza merupakan kemudahan yang dibina oleh rakyat Republik itu untuk tujuan kemanusiaan serta bagi memenuhi keperluan perubatan rakyat Palestin di wilayah itu.

“Hospital Indonesia adalah satu daripada beberapa kemudahan kesihatan yang masih berfungsi di Gaza yang saat ini dikelola sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Palestin di Gaza, meskipun dari waktu ke waktu selalu ada sukarelawan Indonesia yang membantu,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, ada masa ini Hospital Indonesia sedang merawat sejumlah pesakit yang jauh melebihi kemampuannya di tengah-tengah peningkatan jumlah mangsa serangan Israel dari hari ke hari.

Bagaimanapun, Indonesia secara konsisten mengecam dan menggesa agar serangan sewenang-wenangnya dihentikan serta-merta ke atas sasaran awam, khususnya kemudahan kemanusiaan di Gaza, termasuk hospital dan ambulans.

Pihak Hospital Indonesia sendiri telahpun menafikan tuduhan tentera Israel termasuk hospital utama Gaza, Hospital Al-Shifa dan Hospital Sheikh Hamad yang dibiayai oleh Qatar, yang turut dituduh melakukan perkara yang sama oleh Israel.

Sebelum ini, jurucakap tentera Israel (IDF) Brigedier Jeneral Daniel Hagari berkata ibu pejabat Hamas terletak di bawah beberapa hospital di Gaza, termasuk Hospital Indonesia di utara Gaza.

Dia juga membandingkan imej satelit kawasan hospital dari 2010 merangkumi terdapat pos Hamas berdekatan.

Menurutnya, Hamas secara sistematik menggunakan hospital sebagai bangunan untuk menyamarkan operasi mereka selain sebagai ‘perisai’ sekiranya tentera Israel melakukan serangan udara di situ. -TVS

Berita Berkaitan