Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi berucap pada program Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan hari ini. Foto: TVS

Anak muda diseru terokai industri koko – Fadillah

ByMuqri Aziz

KOTA SAMARAHAN, 30 Sept: Anak muda terutamanya di Sarawak disaran agar menerokai industri penanaman dan pengeluaran koko yang semakin mendapat tempat di Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof mengakui meskipun industri komoditi dipelopori oleh industri kelapa sawit, namun ruang dan peluang itu masih ada ekoran persaingan di peringkat komoditi.

Menurut beliau industri berkenaan juga telah membuktikan berjaya menyumbang sebanyak RM7.8 bilion kepada pendapatan eksport negara dan menyasarkan RM8 bilion pada tahun ini.

“Sumbangan ini telah meningkat 13.7 peratus berbanding pada tahun 2021 dan dalam tempoh 7 bulan tahun ini sejak Januari hingga Julai lalu, jumlah pendapatan eksport koko negara telah mencecah RM4.364 bilion.

“Memandangkan Kota Samarahan ini adalah Hab Pendidikan, saya berpandangan Kompleks Kluster Koko Sarawak perlu menubuhkan homestay bagi anak-anak muda mempelajari serta mengalakkan mereka untuk teribat dalam industri koko ini memandangkan kompleks itu mempunyai pusat rekreasi,” kata beliau.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada program Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan pihaknya giat mencari jalan bagaimana untuk mengalakkan orang ramai untuk terlibat dalam industri koko yang bukan sahaja bermula dari penanaman tetapi juga pengeluaran produk-produk koko.

Dalam pada itu, Fadillah turut memberitahu keluasan tanaman koko terkini adalah seluas 5,985 hektar dan disasarkan meningkat sehingga 6,335 hektar hasil daripada pembukaan kawasan tanaman koko baharu.

“Sebanyak 24.6 peratus atau 1,473 hektar tanaman koko diusahakan di Sarawak.

“Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei manakala bilangan petani koko di Sarawak sehingga kini adalah seramai 1,290 orang,” katanya. – TVS