Lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12  Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 termasuk mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket itu. Foto hiasan, Envato.

Empat warga asing ditahan bantu siasatan kes bunuh penjual buah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Polis menahan empat lelaki warga asing bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh melibatkan seorang penjual buah rakyat tempatan di depan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman OUG di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Syukor berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 29 hingga 53 tahun itu ditahan pada 2.30 awal pagi ini di lokasi kejadian.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai insiden itu pada 7.40 malam daripada seorang saksi yang merupakan penyewa rumah di lokasi kejadian.

Amihizam berkata anggota polis yang membuat siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa adalah warga emas berusia 80 tahun dan mempunyai beberapa kesan tikaman di bahagian badan serta muka.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan polis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya polis masih memburu seorang lagi individu yang disyaki terlibat dalam pembunuhan itu.

Amihizam menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan meminta mereka menyalurkan maklumat kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. -TVS