Datuk Dr Abdul Rahman berucap pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Perayaan Kuih Bulan, Majlis Meraikan Ahli Warga Emas Persatuan Hokkien dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Hokkien malam tadi. Foto: TVS

Dataran Bandar Limbang bernilai RM1.5 juta siap penghujung tahun ini, sediakan lot parkir kereta – Dr Abdul Rahman

ByTVS

LIMBANG, 18 Sept: Dataran Bandar Limbang bernilai RM1.5 juta di bawah projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) yang dijangka siap hujung tahun ini akan mampu mengatasi masalah kekurangan parkir di bandar Limbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek itu akan menyediakan lebih 300 lot parkir kereta selain membina kawasan rekreasi bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menjelaskan Dataran Bandar Limbang juga akan menempatkan kemudahan padang bola sepak, kawasan riadah seperti joging dan sebagainya serta kemudahan lot parkir kereta.

“Dataran Bandar Limbang, sedang dalam pembinaan, akan siap pada akhir tahun ini dan Limbang akan mempunyai tempat untuk kita berekreasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Perayaan Kuih Bulan, Majlis Meraikan Ahli Warga Emas Persatuan Hokkien dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Hokkien malam tadi.

Katanya, Limbang terus membangun dengan menyaksikan pelbagai projek mega yang sudah siap dan akan siap seperti Lapangan Rekreasi Limbang, Dataran Bandar Limbang, Tebingan Sungai Limbang dan jambatan kedua Sungai Limbang.

“Itulah kemajuan yang kita ada dan satu lagi yang dijangka siap pada tahun 2025 adalah jambatan kedua Sungai Limbang masih dibuat tetapi berlaku kelambatan,” katanya.

Dr Abdul Rahman menjelaskan Limbang terus berupaya menarik kemasukan pengunjung luar terutama daripada negara jiran Brunei Darussalam.

Beliau mahu penduduk Limbang agar menampilkan keistimewaan Limbang untuk terus menjadi daya tarikan pengunjung negara jiran itu memasuki daerah ini selain musim buah yang melanda Limbang pada masa ini.

Turut hadir ialah isteri Dr Abdul Rahman, Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Timbalannya, Hamidah Halpi, Pengerusi Persatuan Hokkien, David Chua Kien Teen dan Pengerusi Pengelola Program, Kaunselor Liaw Lee Hiong.-TVS

 

Berita Berkaitan