Mayat seorang lelaki dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tujuan bedah siasat sebelum disahkan mati akibat kecederaan kepala kerana terjatuh dari tempat tinggi. Foto: TVS

Penjenayah pecah rumah maut jatuh lereng bukit ketika lari dari polis

ByTVS

GEORGE TOWN, 5 Jun: Seorang lelaki disyaki ahli kumpulan penjenayah pecah rumah ditemui mati selepas terjatuh dari tebing bukit berdekatan Taman Jeselton di sini pada Sabtu.

Mayat ditemui pada kira-kira 4.45 pagi, empat jam selepas polis terserempak dengan tiga individu mencurigakan di kawasan perumahan elit tersebut ketika melakukan Op Rantai Dawai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di kawasan lereng bukit.

Polis mengangkat mayat seorang lelaki yang maut di kawasan lereng bukit berdekatan Taman Jeselton di sini pada Sabtu. Foto: TVS

Ujarnya, pemeriksaan lanjut pada badan si mati, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Namun, bersama mayat adalah sebuah beg galas yang mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau dan peralatan pemotong.

“Turut ditemui, pemutar skru dan sarung tangan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah selain sebilah pisau pemotong daging,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Kok Chin, mayat tersebut dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk tujuan bedah siasat sebelum disahkan mati akibat kecederaan kepala kerana terjatuh dari tempat tinggi.

“Cap jari si mati juga telah diambil bagi tujuan pengesanan identiti. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya lagi.

Polis menemui sebuah beg galas bersama mayat yang mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau dan peralatan pemotong. Foto: TVS

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian berlaku ketika pasukan dari dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Pasukan Gerakan Am Batalion 1 dan 18 sedang menjalankan operasi di kawasan itu kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Semasa melakukan rondaan di dalam hutan, pasukan telah terserempak dengan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Ketiga-tiga suspek telah diminta memberi kerjasama untuk berhenti bagi pemeriksaan, namun mereka melarikan diri ke arah tidak diketahui kerana keadaan gelap.

“Pencarian di kawasan sekitar tidak menemui apa-apa sehinggalah kira-kira empat jam kemudian mayat seorang lelaki ditemui,” katanya lagi.

Difahamkan pasukan operasi berkenaan sedang memburu suspek pecah rumah membabitkan 15 kes yang dilaporkan dengan kerugian kira-kira RM402,050. – TVS

Berita Berkaitan