Tadbir urus kewangan Sarawak wajar dijadikan contoh negeri lain – Ahli akademik

Spread the love

KUCHING, 25 Mei: Sarawak kini wajar dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain dari sudut menguruskan kewangan dan merancang pembangunan ekonomi.

Keyakinan itu disuarakan pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini yang menyifatkan dasar ekonomi dan tadbir urus yang cekap berjaya meraih kepercayaan pelbagai sektor termasuk sektor perbankan.

Tadbir urus kewangan Sarawak wajar dijadikan contoh – Penganalisis

Menurut Dzul, tiada kerajaan negeri lain yang mampu menandingi rekod tadbir urus kewangan cemerlang seperti Sarawak.

“Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Sarawak amat ke depan dengan dasar-dasar yang baharu.

“Belum ada lagi negeri yang begitu agresif dalam mentransformasikan ekonomi ke arah ekonomi hijau, ekonomi digital dan ekonomi berteraskan perkhidmatan khususnya sektor kewangan.

“Ini menjadikan Sarawak sebagai negeri contoh kepada negeri lain dalam Malaysia,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai bank tempatan yang kini mula mendekati Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama dalam perdagangan, Dzul berkata, antara penyumbang kepada kejayaan itu ialah ketegasan Kerajaan Sarawak dalam membanteras salah laku rasuah dalam pentadbiran.

“Saya berpendapat dasar kerajaan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang tegas dalam membanteras aktiviti rasuah secara terang-terangan telah menarik minat serta keyakinan khususnya kepada bank tempatan untuk terlibat sama dalam membangunkan dan memajukan Sarawak.

“Dasar mesra pelabur juga menjadi antara faktor yang menjadi penyumbang kepada kehadiran pelabur ke Sarawak,” jelasnya.

Sebelum ini, Abang Johari mendedahkan semakin banyak bank tempatan mula mendekati Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama dalam perdagangan.

Abang Johari turut mendedahkan bahawa beliau menerima banyak jemputan untuk berkongsi aspek tadbir urus Sarawak dengan sektor korporat. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.