MIRI, 24 Mei: Seramai 10 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas lima rumah di Jalan Pujut Corner di sini musnah dalam kebakaran pada Selasa.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Ismaidi Ismail berkata dalam kejadian 11.30 malam itu, semua mangsa yang terjejas merupakan penghuni daripada tiga rumah manakala dua rumah lagi tidak berpenghuni.
Ismaidi berkata, 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng terlibat menjalankan operasi pemadaman kebakaran.
Menurutnya operasi pemadaman turut dibantu oleh tujuh anggota dari BBP Miri Sentral.
“Bagaimanapun, kesemua rumah yang terjejas terbakar 100 peratus dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.30 pagi,” katanya ketika dihubungi.
Ismaidi menambah punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.