KUCHING, 22 Mei: Penahanan dua individu berhampiran balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada Sabtu lepas berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah di sini yang mempunyai ‘rangkaian’ dengan sindiket di Puchong, Selangor.
Pesuruhajaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kedua – dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita yang masing berusia 39 dan 31 tahun ditahan pada pukul 11.35 malam.
Katanya pemeriksaan lanjut terhadap mereka berdua berjaya menemukan dadah jenis syabu dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM371 286.
“Suspek yang ditahan di sini dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari sindiket di Semenanjung Malaysia.
“Modus operandi mereka ialah membungkus dadah dalam kotak makanan dan dimasukkan ke dalam kotak tisu sebelum didaftar masuk untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau, ketika ditahan, suspek lelaki baharu tiba di Kuching manakala suspek wanita menunggunya di dalam kereta.
Susulan itu kata beliau, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bekerjasama dengan JSJN Selangor dan berjaya menahan dua lagi ahli sindiket berkenaan di sebuah hotel di Puchong.
“Dadah yang dirampas di sini dipercayai untuk diedarkan di sekitar Kuching dan daerah-daerah berhampiran.
“Polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM15,000 dan wang tunai RM1,382 turut dirampas,” katanya.
Beliau memberitahu, kedua – dua suspek direman sehingga 28 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988. -TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.