Sukan SEA: Chuan Leong kembali raih emas selepas lapan tahun

Spread the love

PHNOM PENH, 14 Mei: Selepas kira-kira 48 jam, Malaysia kembali menuai pingat emas di Sukan SEA 2023 menerusi billiard yang disumbangkan Thor Chuan Leong dalam acara snuker perseorangan lelaki.

Menewaskan Akani Songsermsawad dari Thailand pada peringkat akhir yang berlangsung di Aeon Mall Sen Sok, Chuan Leong meraih emas selepas lapan tahun iaitu kali terakhir dimenanginya pada edisi 2015 di Singapura.

Beliau menampilkan prestasi memberangsangkan dengan meraih kemenangan 4-1 (74-42, 67-48, 53-72, 53-17, 63-21).

Seorang lagi atlet negara Lim Kok Leong berkongsi pingat gangsa dengan wakil tuan rumah Sophanith Men.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan sasaran dua emas yang ditetapkan Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia pada temasya ini tercapai, selepas Moh Keen Ho menyumbangkan emas pertama kem snuker negara dalam acara 6-Red individu, Selasa lepas.

Chuan Leong kini memiliki keseluruhan lima emas Sukan SEA selepas mengungguli acara berpasangan  lelaki pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia dan 2015 di Singapura selain acara 6-Red perseorangan pada edisi 2013 di Myanmar. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.