Elak pembakaran terbuka berdekatan fasiliti SEB

Spread the love

KUCHING, 13 Mei: Sarawak Energy Berhad (SEB) menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka berhampiran fasiliti elektrik syarikat itu.

SEB berkata, aktiviti berkenaan dapat meningkatkan kes kebakaran belukar yang menjejaskan perkhidmatannya berikutan keadaan cuaca kering di Sarawak ketika ini.

“Ianya juga membahayakan keselamatan awam termasuk pekerja dan komuniti,” kata syarikat itu menerusi kenyataan media semalam.

(kiri) Kes kebakaran belukar di Sarikei pada 11 Mei yang merosakkan kabel bawah tanah yang menjejaskan bekalan Pulau Bruit, Serdeng, Kpg Sebena, Ng Semah, Mupong, Penasu, Muara Payang, Stubah dan kawasan sekitarnya. (kanan) Kabel rosak akibat kebakaran belukar berhampiran Sarikei pada 11 Mei. Foto: SEB

Syarikat tenaga itu sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menjaga fasilitinya dan mengekalkan bekalan elektrik tanpa gangguan di 23 kawasan titik panas yang dikenal pasti oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada bulan lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad (SESCO) Lau Kim Swee berkata, kerosakan terhadap kemudahan kritikal seperti talian transmisi dan pencawang boleh menyebabkan gangguan elektrik yang berpanjangan.

“Hal ini akan memberi kesan kepada komuniti setempat dan perniagaan yang bergantung pada bekalan elektrik yang stabil,” katanya.

Sehubungan itu, SEB menggesa orang ramai supaya melaporkan aktiviti pembakaran terbuka atau kebakaran belukar segera kepada pihak berkuasa yang berkenaan. 

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SEB di talian 1300 88 3111 atau menggunakan aplikasi mudah alih SEB Cares untuk memaklumkan kes kebakaran berhampiran fasiliti syarikat itu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.