MIRI, 12 Mei: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di sini diingatkan agar segera memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah (JPBD) sekiranya kawasan setempat terputus bekalan air ketika musim kemarau ini.
“Pada musim kemarau ini, saya ingin kongsikan bahawa ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mangsa kemarau bagi membantu kawasan yang terputus bekalan air disebabkan hujan tidak turun, kawasan yang biasa bergantung dengan tadahan air hujan dan tangki kering. KMKK perlu memaklumkan mangsa kemarau kepada Jawatankuasa Pengurusan Becana Peringkat Bahagian.
“Pengerusi JPBD dipengerusikan oleh Residen. Jadi KMKK mesti selalu berhubung dengan pihak Pejabat Residen atau Daerah jika memerlukan bantuan,” katanya demikian pada Majlis Sejambak Kasih Gawai 2023 di Hotel Dynasty, Miri di sini, hari ini.

Selain bantuan berbentuk dua kotak air minuman 1.5 liter dengan 24 botol untuk seorang sebagai bantuan seminggu, Fatimah berkata stok air minuman akan ditempatkan di pangkalan hadapan agar ia dapat disalurkan segera kepada penduduk di kawasan yang terputus bekalan air.
Dalam pada itu, Fatimah juga mengingatkan KMKK untuk segera menghubungi JPBD sekiranya berlaku kebakaran di kawasan masing-maisng.
“Jadi saya minta KMKK selalu berhubung dengan pihakJPBD sekiranya jika berlakunya kebakaran kerana terdapat bantuan membina kediaman baharu iaitu bantuan bahan binaan berjumlah RM5,000,” jelasnya.
Sebagai ingatan bersama, Fatimah menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengambil langkah 3L seperti saranan pihak bomba iaitu “Jangan Lalai, Jangan Leka dan Jangan Lupa” bagi mengelakkan kebakaran dari berlaku.
Terdahulu, majlis menyaksikan seramai 100 penerima bantuan daripada 1,565 orang di Bahagian Miri hadir untuk menerima bantuan hari Gawai Dayak hari ini.
Bantuan berupa wang tunai bernilai RM100 dan hamper bernilai RM150, manakala 1,465 penerima pula dikreditkan RM100 ke dalam akaun masing-masing. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.