MOT Sarawak ambil langkah awal banteras kes gangguan seksual

Spread the love

KUCHING, 9 Mei: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) komited untuk membanteras kes gangguan seksual di tempat kerja, kata Setiausaha Tetap kementerian itu, Dato Ir. Alice Jawan Empaling.

Bagi tujuan itu Alice Jawan berkata, MOTS telah menganjurkan taklimat Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang telah disampaikan oleh Pegawai Tadbir dari Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak, Jessie Melling.

“Seramai 65 orang kakitangan MOTS telah menghadiri taklimat itu di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya,” katanya menerusi kenyataan media.

Kata beliau, objektif program itu untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang maksud gangguan seksual dan kesan terhadap mangsa.

“Peserta turut didedahkan mengenai sokongan yang diberikan serta tindakan yang boleh diambil sekiranya gangguan seksual itu berlaku di tempat kerja,” katanya.

Beliau turut menyeru pengurusan dan kakitangan MOTS supaya memandang serius isu gangguan seksual di tempat kerja dengan mengambil langkah proaktif selain tidak mengetepikan sebarang aduan.

“Saya berharap agar program kesedaran seperti ini akan terus giat dijalankan bagi memupuk kesedaran warga MOTS terhadap isu salah laku integriti di dalam organisasi di samping menyokong hasrat Kerajaan Sarawak untuk menbudayakan integriti dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak,” ujarnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.