Miri tuan rumah Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Peringkat Sarawak

Spread the love

MIRI, 8 Mei: Miri akan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI peringkat Sarawak 2023.

Menteri Pengangkutan Sarawak selaku Menteri Bertanggungjawab sambutan perayaan Hari Keputeraan Rasmi, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, acara ini diadakan sebagai tanda memperingati tarikh bersejarah dan menyemai semangat patriotik terhadap tanah air.

Poster Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI peringkat Sarawak tahun 2023. Foto: UKAS

“Acara-acara tonggak Kerajaan Sarawak diadakan saban tahun bukan sahaja untuk memperingati tarikh-tarikh bersejarah tanah air, tetapi sambutan ini adalah untuk menyemai semangat kekitaan, kecintaan dan patriotik terhadap negara. 

“Bagi sambutan perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI peringkat Sarawak tahun 2023, Miri amat berbesar hati menjadi tuan rumah bagi acara tonggak Kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dua acara utama bakal diadakan pada sambutan ini ialah Majlis Kesyukuran di Masjid At-Taqwa pada 4 Jun dan Majlis Jamuan Teh di Hotel Pullman pada 5 Jun.

Sambutan ini akan diakhiri dengan persembahan penutup ‘Dirgahayu Tuanku’ yang secara simboliknya mengetengahkan keberadaan dalam Malaysia di bawah pemerintahan dan naungan Yang Di-Pertuan Agong melibatkan 14 orang penari lelaki.

Antara tetamu kehormat yang akan menyerikan perayaan berkenaan ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.