Projek SSLR Fasa 1 dari Lawas ke Pa’Berunut telah bermula

Spread the love

Miri, 7 Mei: Projek pembangunan Fasa 1 Sabah Sarawak Link Road (SSLR) telah pun bermula dari Lawas sehingga ke Pa’ Berunut.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, Fasa 2 dan 3 yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei juga sudah diluluskan dan sekarang di dalam proses untuk pengurusan dan penilaian harga.

Baca artikel berkaitan >>>>> Pembinaan Fasa 2 Projek SSLR, LTB mula awal tahun depan – PM

“Begitu juga Sabah Sarawak Link Road (SSLR), fasa 1 sudah pun bermula dari Lawas sehingga ke Pa’ Berunut. Fasa 2 dan 3 sudah pun diluluskan dan sekarang ini dalam proses untuk pengurusan dan penilaian harga seterusnya dibawa ke proses tender. Ini akan terus menyambung sehinggalah ke Miri tanpa melalui Brunei. Maknanya Marudi dan seterusnya sampai ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Persatuan Kayan Sarawak (PKS) 2023 di Hotel Meritz di sini semalam.

Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo yang tergendala sebelum ini juga akan dilaksanakan pada penggal ini iaitu laluan dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei.

Datuk Seri Fadillah melakukan gimik perasmian Majlis Makan Malam Persatuan Kayan Sarawak (PKS) 2023 di Hotel Meritz di sini semalam. Foto: TVS

Jelasnya, beliau telah diberi amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Tambah beliau lagi, jalan-jalan balak juga akan dinaik taraf di antara jalan penghubung Pan Borneo ke pesisir pantai di peringkat negeri Sarawak.

“Kita ada pihak berkuasa pembangunan wilayah yang telah dibangunkan dengan peruntukan supaya infrastruktur ini dapat dibangunkan dengan secepat mungkin. Maknanya semua jalan penghubung yang akan menghubungkan Pan-Borneo dan jalan pesisir akan dapat disampaikan kepada semua jalan penghubung terutamanya jalan-jalan balak juga akan dinaik taraf dan ini diharapkan akan membantu meningkatkan infrastruktur dan perhubungan dalam Sarawak,” tambahnya lagi.

Namun begitu, Fadillah tidak menafikan terdapat cabaran yang pihak mereka hadapi untuk menaik taraf infrastruktur jalan seperti jumlah kontraktor dan juga bahan binaan.

Pada masa yang sama dalam majlis tersebut Fadillah memberi sumbangan sebanyak RM50,000 untuk Persatuan Kayan Sarawak bagi membentuk program pendidikan dan kemahiran kepada anak muda.

Beliau turut menyeru supaya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Sarawak bagi mengadakan program yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran modal insan di Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.