JPBBL sedia agih air di kawasan terjejas akibat cuaca panas dan kemarau

Spread the love

LIMBANG,7 Mei: Pengagihan air bersih ke kawasan yang berdepan krisis air susulan cuaca panas dan kemarau pada masa ini akan dilakukan sekiranya terdapat kawasan yang terjejas dan memerlukan bekalan air di Bahagian Limbang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang (JPBBL) Yunus Tambi berkata, agensi berkaitan termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Majlis Daerah Limbang (MDL) serta agensi berkaitan lain sudah bersedia untuk penghantaran bantuan bekalan air bersih jika diperlukan.

Yunus yang juga Residen Bahagian Limbang berkata, persediaan itu perlu termasuk mengenal pasti kawasan panas di Limbang dan Lawas walaupun setakat ini belum ada kawasan terjejas yang diterima pihaknya susulan kemarau yang berlaku pada masa ini.

“Kita memang telah bersedia untuk pengagihan air bersih di kawasan terjejas susulan cuaca panas dan kemarau, pihak JBALB dan sesetengah tempat di bawah bidang kuasa MDL juga turut bersedia.

“Tapi setakat ini belum ada lagi kawasan yang menghadapi masalah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pelancaran Program Limbang Firefighters Run 2023 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang hari ini.

Turut sama ialah Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, Ketua BBP Limbang, Chong Bui Chyan, Ketua BBP Lawas, Azman Ibrahim, Pegawai Penyiasatan Kebakaran Zon Tujuh, Clarence D. Primus Tiandun dan wakil Pasukan Ayam Kampung Belusir, Chua Sheau Tzee.

Yunus turut memberitahu persediaan rapi sudah dilaksanakan pihaknya sejak cuaca panas melampau melanda negeri ini serta fenomena El-Nino Kuat dan dijangka berterusan sehingga Ogos tahun ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.