Agong, Raja Permaisuri berangkat hadiri pertabalan Raja Charles III

Spread the love

LONDON, 6 Mei: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat menghadiri istiadat pertabalan Raja Charles III, yang berlangsung di Wesminster Abbey pada Sabtu.

Seri Paduka berdua tiba di London, pada Rabu bagi mengadakan lawatan khas hingga 14 Mei, atas persilaan rasmi Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan baginda sebagai Pemerintah United Kingdom (UK).

Kota London hari ini menjadi tumpuan dunia dengan kunjungan raja-raja dan anggota kerabat, ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan serta dif-dif kenamaan utama dari seluruh dunia. Kira-kira 2,000 tetamu jemputan khas menghadiri upacara bersejarah United Kingdom itu.

Upacara gemilang penuh istiadat tradisi diraja UK itu turut menyaksikan pertabalan Permaisuri Camilla, bermula pada 11 pagi waktu UK (6 petang waktu Malaysia), yang diikuti  oleh rakyat England serta masyarakat antarabangsa menerusi siaran televisyen secara langsung dan media sosial.

Al-Sultan Abdullah, yang memakai pakaian istiadat No. 1 tentera sementara Tunku Azizah mengenakan persalinan baju kurung moden berwarna kuning direka khas oleh baginda sendiri untuk istiadat pertabalan baginda berdua pada tahun 2019.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah merupakan Ketua Negara Malaysia yang pertama berangkat menghadiri ke Istiadat Pertabalan Raja UK.

Kali terakhir istiadat yang sama diadakan adalah 70 tahun lalu, ketika Ratu Elizabeth II ditabal menjadi ketua negara UK pada 2 Jun 1953. Ketika itu, Tanah Melayu (kini Malaysia) masih belum merdeka dan Institusi Yang di-Pertuan Agong belum lagi wujud.

Mengikut rekod sejarah ketika istiadat pertabalan Ratu Elizabeth II, Sultan Kelantan, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Sultan Perak berkenan berangkat mewakili Tanah Melayu, yang ketika itu masih lagi tertakluk di bawah pentadbiran British sebagai negara koloni, ke istiadat pertabalan berkenaan.

Malaysia turut diwakili dalam perarakan pertabalan besar-besaran yang menyaksikan pembabitan kira-kira 6,000 anggota tentera UK termasuk 400 anggota tentera dari 38 negara Komanwel.

Sejumlah 12 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, bangga diberi penghormatan menyertai perbarisan dan perarakan diraja dengan mempamerkan keterampilan dan mutu kawad terbaik.

Suasana di sekitar London bagaikan berpesta dengan orang ramai dari serata pelosok dunia membanjiri kota raya untuk menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah era moden ini.

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.