LIMBANG, 5 Mei: Seorang penghuni bernasib baik apabila menyedari kehadiran seekor ular spesis punti tiong sepanjang tiga kaki ‘berteduh’ di bawah rumahnya di Kuarters Jabatan Kerja Raya, Jalan Kubong pada Jumaat.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang, Clarence D. Primus Tiandun berkata sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Mohd Ismail Assan bergegas ke lokasi yang terletak empat kilometer (km) dari balai sebaik menerima panggilan jam 8.12 pagi.
“Setiba pasukan operasi di lokasi, mendapati seekor ular punti tiong berada di bawah rumah pengadu.
“Pasukan bomba bertindak menangkap ular tersebut menggunakan penjerut dan seterusnya melepaskannya ke habitat asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya operasi menundukkan ular berkenaan mengambil masa kurang lima minit.
“Setelah menilai keadaan selamat dan terkawal Bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.