KUCHING, 5 Mei: Ketaksuban pihak pembangkang untuk menumbangkan kerajaan pada ketika ini perlu dihentikan, kerana dikhuatiri akan menjejaskan kestabilan politik negara.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara UITM Mujibu Abd Muis, sekiranya pihak pembangkang berjaya membuktikan keabsahan kerajaan sekalipun, ia akan dianggap sebagai tindakan yang tidak bermoral oleh rakyat.
“Kalau perlu ia dilakukan serta ada justifikasi tertentu dan juga tatacara yang membolehkan ia dilakukan, ia perlu dilakukan mengikut saluran yang betul memandangkan mengikut perundangan kerajaan hanya boleh ditumbang dengan undi tidak percaya di Parlimen.
“Kalau ia berlaku maka sudah tentu tidak ada halangan untuk Perdana Menteri menyembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membuka laluan kepada pembubaran Parlimen dan seterusnya membawa kepada pilihan raya,” kata Mujibu ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Mujibu berharap kerajaan sedia ada diminta untuk terus bertahan sehingga penghabisan penggal serta memberi tumpuan terhadap tanggungjawab masing-masing.
Kata Mujibu lagi, pihak pembangkang juga dituntut untuk menampilkan sikap profesional dengan memberikan input-input positif kepada pihak kerajaan .
“Ini mungkin perlu ada dalam budaya politik baharu kita, yang saya kira masih lagi jauh daripada jangkauan kita.
“Saya berharap pengundi di luar sana perlu lebih bijak dalam memilih, bagi memastikan perkara seperti ini tidak lagi berulang di masa hadapan,” ujar Mujibu lagi.
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.