KUCHING, 5 Mei: Pembentangan Kertas Putih Kesihatan yang akan diketengah di Parlimen akan datang memerlukan sokongan semua pihak sebagai usaha menambah baik kualiti sektor kesihatan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, faktor bagi pembentangan kertas putih itu memerlukan sokongan sebulat suara bagi memastikan pembiayaan dalam sektor kesihatan terus dijaga sekali gus sistem kesihatan yang lebih baik.
“Saya akan memastikan pihak Menteri akan melihat perkara ini untuk sesi yang akan datang setelah 60 tahun.
“Sarawak memberikan sokongan yang penuh dalam perkara ini kerana ia merupakan salah satu perjuangan kita (Sarawak) dalam mendapatkan hak autonomi seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Hari Bidan 2023 (IMDC 23) di salah sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, antara faktor Sarawak menyokong terhadap pembentangan kertas putih ekoran daripada corak penyakit berjangkit yang sering berubah mengikut peredaran masa.
“Kematian yang berlaku di Sarawak pada masa dahulu adalah disebabkan penyakit berjangkit. Tetapi pada masa kini, antara pembunuh rakyat Sarawak adalah serangan jantung, angin ahmar dan lain-lain.
“Populasi kita (Sarawak) hidup lebih lama dan itu bermakna akan berlaku peningkatan di dalam fasiliti kesihatan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Dr Sim berkata walaupun berhadapan dengan kekurangan jururawat, Sarawak akan terus berusaha ke arah meningkatkan nisbah jururawat kepada pesakit dan memastikan penjagaan berkualiti diberikan kepada semua rakyat di rantau ini. -TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.