Persatuan Autisme Kuching rancang bina bangunan baharu

Spread the love

KUCHING, 5 Mei: Persatuan Austisme Kuching (KAA) merancang untuk membina bangunan baharu yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk para pelatih yang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa autisme.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee berkata bangunan itu kelak akan dilengkapi kafe, perkhidmatan cuci kereta, kedai, bengkel kraf dan seni serta bilik latihan vokasional yang lebih banyak.

“Ini membolehkan KAA memenuhi permintaan latihan (dalam kalangan individu autisme) yang bertambah dan menyediakan peluang pekerjaan kepada autisme dewasa,” katanya berucap melancarkan Program Anak Angkat KAA Sunshine Hub Garden Farm oleh Sarawak Energy Berhad di sini, hari ini.

KAA ditubuhkan dengan tujuan membolehkan kanak-kanak dan dewasa autisme dapat membangunkan potensi mereka sepenuhnya dan mampu berdikari.

Pusat Latihan Pendidikan dan Vokasional KAA di Batu Kawa menyediakan latihan kepada 155 kanak-kanak dan dewasa yang berumur antara dua tahun dan 41 tahun dengan 31 kakitangan.

Kos operasi tahunan pusat berkenaan ialah RM1.2 juta.

“Kos yang tinggi kerana keperluan latihan individu dan kumpulan para pelatihnya,” ujarnya.

Yuran latihan bulanan ialah RM200 hingga RM400 seorang, tetapi kos sebenar ialah RM900. 

“Yuran yang rendah agar tidak membebankan ibu bapa dan menjadikan terapi boleh dinikmati kanak-kanak autisme sebanyak mungkin,” katanya.

Mengenai KAA Sunshine Hub Garden Farm Project, beliau berkata Sarawak Energy telah menjadikan ia sebagai projek anak angkat sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Projek adalah untuk menyediakan latihan vokasional dan pekerjaan kepada dewasa autisme.

“Di Sunshine Hub Sheltered Workshop, autisme dewasa dilatih dengan kemahiran bercucuk tanam, mengemas rumah, seni dan memasak,” katanya.

Pada majlis itu, Michael Tiang bermurah hati menaja empat kanak-kanak autisme dengan sumbangan RM10,000 di bawah program ‘Sponsor-a-Child’ bagi membiayai yuran latihan.

Program yang dilancarkan pada 2016 itu adalah untuk menyediakan bantuan kewangan kepada kanak-kanak autisme.

Setakat ini Mei 2023, seramai tujuh pelatih berumur antara tiga hingga 18 tahun telah menerima bantuan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.