LIMBANG, 5 Mei: Pembinaan Lapangan Terbang Lawas baharu yang amat dinanti-nanti penduduk di sini akan bermula pertengahan tahun ini di kawasan Sundar, Lawas melibatkan kawasan seluas 2,500 meter.
Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agung berkata, Kerajaan Sarawak dan Persekutuan sebelum ini telah meluluskan pembinaan projek berkenaan bagi mengantikan lapangan terbang lama yang kecil serta kerap dilanda banjir.

Beliau berkata daerah itu amat memerlukan lapangan terbang baharu bagi menampung kemasukan pelancong, perniagaan dan aktiviti ekonomi yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di wilayah utara.
“Kami di Lawas memerlukan sebuah lapangan terbang yang baharu serta lebih besar, kerana mengambil kira keperluan masa depan.
“Syukur dan kita berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sudah mempertimbangkan dan meluluskan sebuah lapangan terbang baharu iaitsu ia akan dapat memuatkan sebuah pesawat jenis Boeing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Pesta Nuba Laya anjuran Persatuan Lun Bawang Sarawak Cawangan Limbang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Limbang di Batu Biah pada Jumaat.

Turut sama Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal dan Pengerusi Persatuan Lun Bawang Sarawak Cawangan Limbang, Frederick Lalong.
Henry menambah lagi kemudahan sebuah lapangan terbang baharu amat diperlukan penduduk di utara negeri ini susulan kedudukan Lawas yang terasing dan unik.
Sementara, ujarnya kerja-kera penyukatan tanah dan pampasan tanah telah dilakukan sebelum ini dan seterusnya kerja pembinaan peringkat awal akan bermula pertengahan tahun ini.
Lawas kini mempunyai lapangan terbang pendaratan dan pelepasan jarak pendek (stol), yang telah beroperasi sejak 1961 dan, walaupun dinaik taraf pada 1996, ia terus mengalami isu banjir serta peningkatan penumpang dan kargo.-TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.