KUCHING, 5 Mei: Program Hydrogen and Tech SAFARI 3.0 yang menjadi landasan kepada Sarawak meningkatkan pengetahuan teknologi digital dan tenaga hijau dalam kalangan belia bakal menjelajah ke sembilan lokasi di negeri ini bermula 20 Mei depan.
Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, program berkenaan akan diadakan di sembilan lokasi iaitu Lundu, Serian, Betong, Mukah, Bintulu, Miri, Lawas, Kapit, Kota Samarahan dan Kuching.
Menurutnya, program julung kali itu dijangka berakhir hujung tahun nanti dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) bersama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
“Objektif program ini adalah untuk mempromosi serta memberi pendedahan baharu dalam tenaga hijau dan ekonomi digital kepada belia serta masyarakat setempat tentang peranan serta fungsi MEITD, SMA, dan SDEC dalam aspek pembangunan bakat ke arah ekonomi digital dan tenaga hijau di Sarawak, khususnya CENTEXS sebagai platform dalam membantu belia Sarawak menceburi industri digital.
“Kumpulan sasaran kami bagi program tersebut ialah pelajar Tingkatan 5, lepasan sekolah, dan lepasan universiti daripada pelbagai bidang dan masyarakat setempat khususnya belia dan kami sasarkan lebih 500 peserta yang hadir di setiap lokasi program itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Hydrogen and Tech SAFARI 3.0 di Bangunan LCDA di Kuching, hari ini.
Turut hadir bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman.
Roland mendedahkan antara aktiviti yang dijalankan kelak adalah progran jangka pendek atau lebih dikenali sebagai Community Technology Outreach Program (CTOP) yang memfokuskan kurikulum keperluan setempat serta Temuduga Terbuka oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sesi Soal Jawab bersama rakan kongsi industri serta Sesi Randau oleh MEITD, CENTEXS, SMA dan SDEC dan pelbagai aktiviti menarik lagi.
Beliau memberitahu program itu dianjurkan selari dengan hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu bakat tempatan dilengkapi dengan latihan yang praktikal serta relevan untuk membolehkan penyepaduan yang lancar dalam industri kelak.
“Tenaga hijau adalah masa depan kerana ia menawarkan sumber tenaga yang mampan, selamat serta kos yang efektif yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi di Sarawak.
“Ketika dunia terus bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan, tenaga hijau akan memainkan peranan yang semakin penting dalam memenuhi keperluan tenaga kita,” ujarnya lagi.
Katanya MEITD melalui CENTEXS komited untuk menyokong pencapaian visi Sarawak 2030 dengan sokongan dan kerjasama kerajaan dengan rakan kongsi strategik dan industri. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.