KUCHING, 5 Mei: Susulan hantaran di media sosial berhubung maklumat sekatan jalan raya, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menasihatkan pengguna media sosial agar tidak mendedahkan maklumat operasi dan penugasan polis.
Menurutnya, hantaran itu juga berkongsi agar orang ramai tidak melalui jalan-jalan berkenaan sekiranya tidak mempunyai lesen memandu.
“Saya ingin menasihatkan kepada pengguna media sosial supaya gunakanlah kemudahan rangkaian media sosial ini dengan berhemah,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada media, hari ini.
Difahamkan, laporan polis akan dibuat manakala hantaran berkenaan sudah dipadam.
Azman berkata lagi, tindakan mendedahkan maklumat polis merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan media sosial tidak wajar yang boleh membawa hukuman denda RM50,000 dan penjara tidak lebih satu tahun.
Siasatan juga boleh dijalankan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.