KUCHING, 5 Mei: Berapa dos vaksin COVID-19 yang anda sudah dapatkan bagi melindungi daripada kesan buruk apabila dijangkiti virus berkenaan?
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata mereka yang belum mendapatkan dos keempat vaksin wajar berbuat demikian di klinik berdekatan.
Golongan berisiko tinggi seperti pengidap darah tinggi, diabetes dan kencing manis amat digalakkan mendapatkan dos penggalak keempat.
“Di Malaysia dan negara-negara jirannya terdapat peningkatan kes COVID-19 disebabkan kemunculan varian baharu (Arcturus),” katanya menerusi video yang disiarkan di media sosialnya, hari ini.
Menurutnya, warga emas di Australia dan Kanada diberi lima dos vaksin.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menyeri orang ramai agar mengutamakan kebersihan diri.
“Gunakan cecair sanitasi tangan dan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak,” katanya.
Setakat 1 Mei lepas, negara melaporkan 9,780 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 14 hari dengan Selangor merekodkan kes terbanyak, iaitu 3,414 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,130) dan Melaka (792).
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 24 April lepas, dipetik berkata kementeriannya mengesan 12 kes jangkitan Arcturus di negara ini, iaitu empat di Selangor, dua di Kuala Lumpur dan enam di Sarawak.
Sementara itu, Bernama melaporkan Arcturus membawa risiko tinggi terhadap warga emas serta golongan rentan khususnya, dan rumah terbuka berpotensi mencetuskan penularan baharu.
Menerusi laporan itu, pakar perubatan kesihatan awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata berdasarkan laporan di negara lain, subvarian terbaharu ini tidak mencetuskan jangkitan yang teruk ke atas individu biasa, namun bagi warga emas dan golongan rentan, tahap jangkitan yang dialami mereka tetap sama seperti varian asal COVID-19.
“Tidak kiralah varian apa sekalipun, kita tidak boleh ambil ringan khususnya dalam kalangan golongan rentan kerana imuniti mereka rendah dan boleh menyebabkan mereka berdepan komplikasi penyakit lain yang lebih teruk jika dijangkiti (subvarian COVID-19 terbaharu ini).
“Jika golongan ini tidak berhati-hati, dan pada masa sama tidak lengkap dos penggalak vaksin COVID-19, jangkitan akan merisikokan mereka mengalami ‘long COVID’, selain boleh menyebabkan kematian sekalipun setakat ini belum ada kematian akibat Arcturus dilaporkan,” katanya.
Setakat ini, Arcturus dilaporkan dikesan di lebih 30 negara sejak dikenal pasti pada Januari lepas.
Menurut Dr Zainal Ariffin, selain demam panas luar biasa dan batuk, iaitu gejala biasa COVID-19 yang diakibatkan oleh varian terdahulu, Arcturus turut dikesan mencetuskan simptom baharu seperti konjunktivitis atau jangkitan mata, menyebabkan mata pesakit mengalami kemerahan, kegatalan dan bengkak.
Walaupun konjunktivitis pernah dilaporkan sebagai antara simptom COVID-19 sebelum ini, gejala itu tidak selazim yang disebabkan oleh subvarian baharu ini.
“Amalan kunjung-mengunjung semasa musim perayaan tidak salah dan masih boleh diteruskan, tetapi mungkin ada yang sudah alpa, lupa, berasa selesa atau leka dengan pemakaian pelitup muka. Jadi, saya ingatkan masyarakat untuk terus kekal patuh SOP (prosedur operasi standard) secara berterusan tanpa bosan.
“Bagi mereka yang disyaki mempunyai gejala atau simptom, dinasihatkan untuk jujur pada diri dengan tidak meneruskan amalan kunjung-mengunjung. Apatah lagi jika rumah yang ingin dikunjungi itu ada orang tua ataupun orang sakit yang sistem imunnya rendah kerana ini boleh membahayakan yang lain walaupun kesan subvarian ini tidak bahaya,” nasihat beliau.
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.