KUCHING, 5 Mei: Kebakaran terbuka membabitkan hutan dan semak boleh dielakkan jika orang ramai sentiasa mengamalkan 4M – melihat, mendengar, memahami dan mematuhi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata setiap individu berperanan penting dalam mencegah kebakaran terbuka yang menjejaskan kualiti udara.
Baca artikel berkaitan:
- 1. JBPM kenal pasti 406 kawasan titik panas di seluruh negara
- 2. Mukah, Bentong hadapi cuaca panas tahap satu – MetMalaysia
“Langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan secara bersama. Bila disebut bersama, maknanya komuniti dan juga agensi-agensi dan Jabatan Bomba perlu berganding bahu dalam kita mengelak dan mencegah terjadinya kebakaran hutan.
Pembakaran kawasan-kawasan semak, sampah-sarap dan pembakaran terbuka yang lain perlu dielakkan,” katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis.
Selain itu, beliau menasihatkan agar orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dengan memastikan pengambilan air secukupnya.
Orang ramai juga perlu mengelak daripada berada di kawasan yang terdedah dengan cuaca panas pada tempoh lama, selain memakai pakaian yang ringan dan longgar.
Pada Khamis, JBPM mengenal pasti 406 titik panas (hotspot) di seluruh negara melalui satelit.
Antara kawasan itu ialah Mukah, Miri di Sarawak; Dungun, Kemaman di Terengganu; Kuantan, Pekan di Pahang; Pasir Mas, Bachok di Kelantan dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Selangor.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyenaraikan dua kawasan di Malaysia mengalami cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga.
Dua kawasan berkenaan ialah Mukah di Sarawak dan Bentong di Pahang. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.