Zahid gesa tiket penerbangan diturunkan sempena Kaamatan, Gawai

Spread the love

KOTA KINABALU, 4 Mei: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa syarikat penerbangan menurunkan harga tiket sempena perayaan Kaamatan dan Gawai yang akan datang.

Beliau yang prihatin mengenai harga tiket penerbangan menurutnya isu berkenaan sering kali dihadapi oleh rakyat Sabah dan Sarawak yang merantau mencari rezeki di Semenanjung.

Sambil menzahirkan kekesalan, Zahid mendedahkan beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, agar tambang yang lebih rendah disediakan ke kedua-dua negeri itu bagi membolehkan rakyatnya pulang ke kampung halaman pada perayaan kali ini.

“Tentunya saya juga mendengar rungutan rakyat Sabah dan Sarawak yang terpaksa mengorbankan hasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing kerana tambang kapal terbang yang begitu mahal,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zahid turut memohon kepada Jemaah Menteri untuk menyelesaikan isu ini, bukan sahaja pada perayaan Kaamatan dan Gawai, namun untuk perayaan-perayaan lain yang akan datang.

Terdahulu, Zahid menghadiri lawatan kerja dan  Majlis Ramah Mesra Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.