Dron pantau dan beri amaran, cegah pembakaran terbuka

Spread the love

MIRI, 2 Mei: Dron akan digunakan bagi memantau dan memberi amaran terhadap pihak yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka di bahagian ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dron akan memperkasa peranan anggota Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Sukarela Malaysia (RELA) dalam usaha mencegah kebakaran hutan.

“Bomba juga terlibat dan Menara Tinjau Tudan di Kuala Baram diuruskan oleh RELA. Jadi saya lihat, kita memang bersedia (berhadapan musim kemarau) pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri di Pejabat Residen Bahagian Miri di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Residen Bahagian Miri Jamalie Busri.

Selain memastikan kualiti udara kekal bersih, Uggah juga mengingatkan bahawa kebakaran hutan perlu dibendung memandangkan Miri terletak berdekatan dengan Brunei.

Katanya, kebakaran di kawasan Miri dikhuatiri akan menyebabkan jerebu sehingga dan menjejaskan udara di Miri termasuk di Brunei.

Sementara itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) diminta bersiap sedia terus membekalkan air ke kawasan terjejas sekiranya musim panas masih berterusan.

“Kawasan kampung dan rumah panjang juga ada yang mengalami kekurangan air. Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Residen Bahagian Miri sedang membekalkan air ke kampung,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.