BAU, 1 Mei: Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC) bakal dilengkapi dengan bekalan elektrik bagi memberi kemudahan kepada pusat warisan tersebut yang menjadi tarikan pelancong.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau kecewa kerana kemudahan itu tidak terdapat di BBHC ketika bertanya kepada Dato Peter Minos.
“Beliau memberitahu saya bekalan air bersih ada namun untuk mendapatkan elektrik, penjana elektrik perlu digunakan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Bung Bratak 2023 di Pusat Warisan Bung Bratak di sini, hari ini.
Ujarnya, beliau sedia bekerjasama dengan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dalam memastikan perancangannya berjalan lancar.
“Saya percaya pada masa kini antara perkara penting yang perlu dilakukan dalam kawasan yang menjadi tumpuan ramai dengan menyediakan kemudahan seperti bekalan elektrik, sumber air yang bersih dan capaian internet.
“Saya tidak mahu gangguan seperti ini memberi tanggapan dan reaksi yang buruk terhadap pengunjung luar negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihak kementerian sudah mengatur kerjasama bersama Sacofa Sdn Bhd dan beberapa perkhidmatan yang lain dalam memastikan capaian internet Rainforest World Music Festival di Kampung Budaya Sarawak, Kuching yang berlangsung dari 23 hingga 25 Jun ini berjalan lancar.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh, ADUN Opar, Billy Sujang dan Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak Dato Peter Minos. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.