Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof. Foto: Bernama

Sembilan ditahan seleweng diesel lebih RM290,000

ByBernama

ALOR SETAR, 29 April: Sembilan individu termasuk tiga warga tempatan ditahan bersama 135,760 liter minyak diesel bernilai anggaran RM291,884 dipercayai untuk diseleweng dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, tiga warga tempatan dan enam warga Thailand berusia lingkungan 20-an dan 50-an itu ditahan oleh polis dalam serbuan di sebuah premis pada 1 tengah hari.

Beliau berkata, polis seterusnya bertindak menyita minyak diesel dan tujuh motolori terdiri daripada sebuah motolori bernombor pendaftaran tempatan manakala selebihnya bernombor pendaftaran Thailand.

“Antara barang lain turut disita kerana disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel adalah 10 unit¬†skid tank, tiga unit mesin pam minyak, lapan unit muncung pam, dua unit tangki silinder, wang tunai dalam mata wang Bath sebanyak THB 192,902.

“(Selain itu) tujuh unit kunci kenderaan, dua unit alat kawalan jauh pintu pagar, satu unit lesen PDA (Akta Kemajuan Petroleum) dan satu unit lesen borong. Anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM1,057,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, polis kemudian menyerahkan kes itu kepada pihak pejabat KPDN Kedah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama  Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613),” katanya. -TVS

Berita Berkaitan