Diskriminasi, stigma tambah derita pesakit HIV

Spread the love

KUCHING, 27 April: Liku perjalanan hidup sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) pasti mendepani pelbagai cabaran kesihatan serta reaksi negatif daripada masyarakat.

Wujud persepsi mereka ini menjijikan menurut sebuah kajian kebangsaan pertama mengenai stigma dan diskriminasi yang dihadapi oleh Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) iaitu Kajian Penilaian Stigma Malaysia (MySES) telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2021.

Bagi menyelami isi hati golongan ini, TVS mendekati Gemini Jirawatikul (bukan nama sebenar) yang merupakan antara insan terpilih hidup dengan HIV/AIDS.

Mengakui sukar pada awalnya untuk menerima kenyataan, Gemini,28, mula menempuh hidup dengan HIV/AIDS  sejak hampir lima tahun lalu, namun kini dia akur dengan ketentuan hidupnya.

“Dulu masa mula-mula, saya mendapati saya selalu sakit sakit, dalam sebulan tu kerap sakit…Oleh itu rakan saya yang bekerja sebagai pembantu kesihatan telah memujuk saya untuk melakukan ujian Saringan HIV,” katanya kepada penulis baru-baru ini.

Sepanjang perjalanannya hidup dengan HIV/AIDS, Gemini hanya mengimpikan mempunyai sistem sokongan yang teguh agar semangatnya tidak luntur selain mengharapkan sebarang tanggapan serong atau diskriminasi dapat dihapuskan.

“Sebagai seorang pesakit HIV, saya boleh mengatakan bahawa pesakit HIV bukan untuk disisihkan atau dijauhi.”

“Kami juga manusia yang memerlukan sokongan dan kata-kata semangat untuk melalui kehidupan seharian kami.”

“Selain itu, masyarakat perlu didedahkan mengenai fakta atau maklumat tentang HIV agar mereka memahami dan mengurangkan stigma terhadap golongan positif ini,” katanya.

Berbeza situasi yang dihadapi Chis (bukan nama sebenar) yang mengakui semangat untuk terus hidupnya kan pudar serta tidak mempunyai sebarang perancangan baharu selepas ini.

Walaupun begitu kata Chris, sokongan moral daripada keluarga menjadi kekuatan buat dirinya selama ini.

“Saya bercadang untuk membeli langganan insurans sebagai persediaan untuk masa hadapan kelak kerana saya juga tidak mahu lagi melanjutkan pelajaran.”

“Dengan adanya insurans sekurang-kurangnya keluarga akan mendapat pampasan takaful untuk membiayai pengebumian saya nanti,” ujarnya.

Chis juga berharap persepsi orang ramai terhadap OHDA wajar ditangkis ekoran ada segelintir mangsa merupakan golongan yang dianiaya seperti mangsa gangguan seksual dan rogol.

Dalam pada itu, Lin (bukan nama sebenar), mendedahkan hidupnya kini bergantung harap terhadap ubat-ubatan untuk menguatkan sistem imuniasi tubuhnya.

“Saya harus mengambil ubat setiap bulan di hospital. Kalau konsisten, kami dibenarkan ambil ubat cukup untuk enam bulan sekali.

“Rutin harian termasuklah mengambil ubat tepat jam 10 malam. Tidak boleh terlalu awal, atau terlalu lambat, supaya ubat itu berkesan,” katanya lagi.

Mendengar sendiri keluhan mereka ODHA ini, timbul persoalan bagaimana peranan masyarakat untuk menghapus diskriminasi terhadap HIV dan AIDS.

Seperti pelan strategik kebangsaan bagi menghapuskan AIDS 2016-2030 yang menggariskan ujian dan rawatan sebagai salah satu tindak balas utama nasional ke arah menamatkan AIDS.

Ini bagi memastikan mereka yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA) mendapat akses kepada rawatan bagi memenuhi sasaran 95-95-95 menjelang 2030 dan seterusnya membasmi sebarang unsur diskriminasi.

Antara cara untuk membasmi unsur negatif itu ialah menerusi ubat Profilaksis Pra-Pendedahan atau Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) yang disarankan kepada individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan HIV sebelum pendedahan seksual.

Difahamkan kaedah ini telah terbukti berkesan melalui pelbagai kajian dan penggunaan PrEP telah dimasukkan dalam garis panduan Terapi Antiretroviral Malaysia (ART) sejak 2017.

Sementara, menurut presiden President Persatuan Prihatin AIDS Sarawak, Stevie Astly, Malaysia telah memperkenalkan pelbagai kempen untuk menangani stigma dan diskriminasi.

“Terutamanya kepada populasi utama terjejas dan apabila kita bercakap mengenai ‘populasi utama terjejas’, kita banyak bercakap mengenai lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki serta orang yang berisiko jangkitan HIV.

“Jadi baru-baru ini, saya percaya Malaysia telah memperkenalkan kempen ‘Pencegahan untuk Positif’ yang dilaksanakan oleh Majlis AIDS Malaysia dan projek itu bertujuan bagi menyediakan pendidikan serta sokongan untuk Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS, termasuk penggunaan PrEP sebagai alat pencegahan dan sepanjang projek itu berjalan, ‘populasi utama terjejas’ dan mereka yang terdedah dengan risiko tinggi diberikan maklumat tentang penggunaan ubat PrEP sebagai salah satu kaedah pencegahan,” katanya kepada TVS dalam satu temu bual ekslusif di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak kes HIV/AIDS pertama dikesan di negara ini pada tahun 1986, Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan langkah agresif dalam membasmi penyakit itu.

“Populasi utama terjejas dibekalkan dengan maklumat tentang PreP dan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada mereka dan ini juga berfungsi untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi, terutamanya untuk menyediakan kaunseling dan sokongan perkhidmatan kepada mereka.

“Selain itu, terdapat usaha untuk melatih pekerja dan profesional penjagaan kesihatan tentang penggunaan PrEP dan cara menyediakan penjagaan tanpa diskriminasi kepada populasi utama yang terjejas.

“Jadi, saya percaya ini adalah salah satu langkah penting untuk memperkenalkan dan melancarkan Persediaan kepada Populasi Terjejas Utama, terutamanya dalam perjuangan kami dalam menamatkan HIV,” katanya lagi.

Stevie menjelaskan punca utama stigma berlaku adalah kurang pengetahuan mengenai penggunaan ubat prEP.

”Kami mempunyai cabaran kerana, seperti semua program baru yang saya perkenalkan, sentiasa ada cabaran yang perlu kami tangani.

“Nombor satu ialah pengetahuan dan kesedaran yang terhad kepada orang awam tentang penggunaan PrEP.

“Oleh itu, terdapat kekurangan kesedaran mengenai PrEP dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan pada mulanya kerana ia mengehadkan keupayaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berkesan dan maklumat kepada orang yang mencari PrEP,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, ada juga sebahagian daripada mereka yang hidup dengan HIV/AIDS yang tidak mahu meneruskan pengambilan ubat PreP.

“Sebenarnya, ia tidak semudah itu kerana untuk mengambil PrEP, terdapat prosedur yang perlu dipatuhi.

“Mereka perlu menjalani pemeriksaan biasa kerana ia bukan kerana kesan sampingan tetapi terutamanya apabila anda bercakap tentang PrEP dan kadang-kadang sesetengah individu tidak dapat mengendalikan kesan sampingan atau mempunyai interaksi dengan ubat lain yang mereka ambil,” katanya.

Justeru, tegas Stevie sekiranya terdedah dengan aktiviti berisiko tingg, mereka disaran untuk mengambil ubat berkenaan.

“Saya percaya ia adalah pilihan individu. Mesti ada sebab mengapa mereka tidak mahu mengambil tetapi mereka menghentikan PrEP jika mereka masih berisiko tinggi melakukan aktiviti berisiko tinggi, saya menggesa mereka untuk terus mengambil ubat kerana ia adalah salah satu alat penting serta kuat untuk mengurangkan jangkitan,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, matlamat utamanya adalah memerangi stigma dan diskriminasi yang dilihatnya tabu walaupun mereka yang hidup dengan HIV/AIDS, boleh hidup seperti orang lain.

“Orang Yang Hidup Dengan HIV, pada masa kini kerana kemajuan perubatan, HIV bukan lagi ‘hukuman mati.’”

“Mungkin 20 atau 30 tahun yang lalu tetapi kini terdapat banyak kemajuan dalam perubatan bagi mengawal virus dan Orang Yang Hidup Dengan HIV.”

“Mereka boleh menjadi tenaga kerja masyarakat yang produktif, mereka boleh menyumbang kepada ekonomi dan tidak sepatutnya ada sebarang stigma dan diskriminasi yang mereka hadapi tidak seharusnya menjadi sesuatu yang menghalang mereka untuk menjadi sebahagian ahli masyarakat yang produktif.”

“Mereka juga masih manusia,” katanya lagi.

Kajian MySES merekodkan  9.5 peratus ODHA telah mengalami sekurang-kurangnya satu daripada tiga stigma yang digubal dalam rumah tangga atau komuniti mereka dan hampir separuh daripada responden dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk stigma dan diskriminasi dalam tetapan penjagaan kesihatan.- TVS

Tags: HIV, kkm, ODHA

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.