Pasukan bomba menjalankan pencarian mangsa di sekitar kawasan Bukit Kemunting dekat sini malam tadi. Foto: BBP Bintulu

Pengurus jenazah hilang ketika cari buluh lemang di Bintulu

ByTVS

BINTULU, 21 April: Seorang pengurus jenazah dilaporkan hilang ketika keluar mencari buluh di Bukit Kemunting, dekat sini malam tadi.

Kehilangan Mohammad Ajib Junaidi, 30, disedari oleh ahli keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumah mereka pada pukul 11 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba Christus Buson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.17 malam.

Adik mangsa menunjukkan gambar abangnya yang dikhuatiri hilang dipercayai ketika mencari buluh petang semalam.

Susulan itu katanya, seramai 10 anggota bomba telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan pencarian.

“Anggota bomba mencari motosikal jenis Honda yang digunakan oleh mangsa di kawasan itu namun tidak menemui sebarang petunjuk,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Christus memberitahu, usaha pencarian di Bukit Kemunting dan Jalan Sepandok juga gagal menemui mangsa.

 

Orang-orang kampung turut serta mencari mangsa di Bukit Kemunting. Foto: BBP Bintulu

“Pencarian dihentikan pada pukul 12.55 tengah malam tadi dan akan disambung sekiranya mendapat maklumat baharu dari keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu adik mangsa, Hamisah Junaidi berkata, abangnya mencari buluh untuk dibuat lemang menjelang Aidilfitri esok.

“Abang juga sempat membuat kemas kini di Facebook untuk menjual buluh yang dicarinya itu,” katanya. -TVS 

Berita Berkaitan