Jenazah Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib selesai dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. Foto: UMNO Kepala Batas

Kecederaan kepala punca kematian tentera di hutan Perak

ByTVS

IPOH, 13 April: Kematian seorang anggota tentera di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik dekat sini yang mayatnya ditemukan semalam berpunca akibat kecederaan pada kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, proses bedah siasat ke atas mayat Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib telah selesai dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini.

Jenazah Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib selesai dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. Foto: UMNO Kepala Batas

“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan pada kepala kerana terjatuh.

“Jenazah telah diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat Mohammad Nasri yang bertugas di Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang itu ditemukan kira-kira pukul 10.15 pagi semalam selepas lima hari dilaporkan hilang.

Anggota tentera itu disedari hilang ketika melakukan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman hutan simpan tersebut kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat. -TVS

Berita Berkaitan