Sarawak luaskan program Sejambak Kasih ke luar bandar

Spread the love

DARO, 10 April: Kerajaan Sarawak merancang untuk memperluaskan Program Sejambak Kasih di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II Sarawak, Muhammad Razi Sitam berkata, perancangan berkenaan sesuai dengan konsep menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi program itu.

Sehubungan itu kata beliau, Sejambak Kasih perlu diteruskan pada setiap musim perayaan utama pelbagai kaum di Sarawak.

Muhammad Razi Sitam berucap pada Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2023 di Dewan Masyarakat Daro pada hari ini. Foto TVS.

“Hasil perbincangan kita dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita berhasrat untuk memperluaskan lagi Program Sejambak Kasih di seluruh Sarawak.

“Sebelum ini, kita mengadakannya sebagai aktiviti semasa Hari Gawai dan juga Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2023 di Dewan Masyarakat Daro pada hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, Pengarah JKM Sarawak, Adana Jed dan Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh.

Muhammad Razi Sitam menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan kepada penerima. Foto TVS.

Mengulas lanjut, Muhammad Razi berkata, tujuan program berkenaan diperluaskan ialah kerana kerajaan negeri ingin memberi bantuan yang lebih menyeluruh kepada penerima-penerima yang layak di seluruh Sarawak.

Program Sejambak Kasih pada setiap musim perayaan ini merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Jabatan Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

Program di Daro hari ini menyaksikan tersebut seramai 150 individu menerima sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.