Bot Karam: Lima mangsa terapung 18 jam, usaha cari seorang mangsa diteruskan hari ini

Spread the love

KUCHING, 5 April: Lima mangsa yang selamat dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Jerijeh, Tanjung Manis terapung selama 18 jam sementara menunggu diselamatkan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Gilbert Tinggak Numpang berkata bot nelayan yang dinaiki enam mangsa karam pada 6.30 petang, Isnin (3 April).

Lima mangsa dijumpai pada 12.40 tengah hari, Selasa, oleh nelayan lain. Mangsa yang selamat ialah Mahamad Obeng, Agus Supridi, Johari, Apek dan Mohamad Syafiq Shahzwan Sulaiman.

Operasi carilamat Maritim Malaysia (Maritim), Zon Maritim Tanjung Manis. Foto: Maritim Sarawak

“Mereka telah dilanda ribut berikutan cuaca buruk. Kesemua mangsa sempat memakai jaket keselamatan sebelum terjun ke laut.

“Kelima-lima mangsa yang selamat dimaklumkan berapung berdekatan sesama kru sehingga dijumpai nelayan berhampiran.

“Manakala seorang lagi mangsa tidak kelihatan dikhuatiri berpecah dari kumpulan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Op carilamat diaktifkan pada tengah hari Selasa selepas menerima laporan mengenai insiden berkenaan.

Operasi carilamat hari kedua diteruskan pagi ini bagi mencari seorang tekong bot, Wong Pak Wei.

Menurutnya, operasi carilamat pada Selasa meliputi kawasan 20 batu nautika dan diperluaskan ke 20.20 batu nautika hari ini.

Pencarian membabitkan aset Maritim, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Kita juga turut merancang untuk membuat selaman di posisi bot karam pada hari ini dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air dari Balai Bomba Sungai Merah, Sibu sekiranya cuaca mengizinkan.

“Pencarian juga turut dibantu oleh tiga bot nelayan tempatan. Keseluruhan jumlah pegawai dan anggota petugas di lokasi adalah seramai 50 orang,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.