10 saat pisahkan Kuching City dengan tiga mata penuh

Spread the love

KUCHING, 5 April : Skuad The Cat hampir meraih kemenangan kedua Liga Super musim namun kealpaan pada minit terakhir memusnahkan impian mereka di Stadium Negeri Sarawak, Petrajaya malam ini.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dilihat bergelut pada musim pertama mereka dalam saingan liga elit Malaysia apabila kalah lima perlawanan berturut-turut.

Aksi ketujuh malam ini memperlihatkan perubahan apabila tuan rumah memulakan permainan dengan serangan bertali arus ke gawang Kelantan United FC yang dikawal  Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Bagaimanapun tiada jaringan terhasil selepas 45 minit.

Memasuki babak kedua, skuad tuan rumah meneruskan permainan agresif dalam usaha memecah kebuntuan.

Kuching City FC dihadiahkan penalti dan berjaya disempurnakan oleh pemain import Sirojiddin Kuziev pada minit ke-48.

Permainan terus rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Ketika tuan rumah diramal bakal meraikan tiga mata penuh, kejutan berlaku apabila tandukan Muhammad Asraff Aliffudin Yasin menerjah gawal tuan rumah.

Pengadil, Ruslan Mansor kemudian meniup wisel penamat selepas itu sekali gus kedua-dua pasukan berkongsi mata. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.