KUCHING, 4 April: Pustaka Negeri Sarawak berhasrat untuk melahirkan legasi yang mempunyai sistem operasi diri berlandaskan Al-Quran bagi membangunkan sebuah negara dan daerah yang berbudi serta penyayang melalui penganjuran program World Quran Hour 2023 Peringkat Negeri Sarawak.
Unit Komunikasi Pustaka Negeri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, World Quran Hour 2023 bakal berlangsung serentak di seluruh dunia pada 13 April, bersamaan 22 Ramadan 1444H mulai jam 10.15 pagi hingga 10.30 pagi.
Bertempat di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin Kuching, Pustaka Negeri Sarawak dengan kolaborasi bersama Rumah Ngaji Sarawak mengajak umat Islam menyokong program itu, ia juga boleh disaksikan dengan tayangan secara langsung melalui platform media sosial rasmi Pustaka Negeri Sarawak di Facebook atau Youtube bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Dengan tema “Memanusiakan Manusia” (Humanising the Ummah) menerusi agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World, program ini turut bertujuan untuk merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga.
Program ini turut menggalakkan umat Islam di Sarawak berinteraksi dengan Al-Quran melalui bacaan, pemahaman serta amal sekali gus diharap boleh membentuk nilai-nilai mulia yang diperoleh melalui penghayatan surah-surah Al-Quran.
Beberapa program yang menarik akan diadakan juga di bawah program ini, antaranya ialah Tadabbur Surah Al-Insan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Sarawak, persembahan nasyid serta qasidah.
Selain itu, program itu disokong sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi
(Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang akan dijangka untuk turut serta dalam program World Quran Hour 2023 ini.
Dalam pada itu peserta yang bakal menyertainya digalak untuk berkongsi gambar mereka di laman sosial dan dihantar ke laman media sosial rasmi Pustaka Negeri Sarawak, besertakan ##Worldquranhour23 #WQHSWK23.
Bagi mereka yang berminat dan mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh hubungi Ramdzan Sama di 014-8603620 atau Dayang Najwa Hazwani Awang Zaini di 016-8947255. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.