SEMATAN, 4 April: Perkembangan projek pembinaan Jambatan Rambungan kini berdepan isu kelewatan serta dikategorikan sebagai projek sakit disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab pihak kontrakor.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan yang menyuarakan rasa tidak puas hati kelewatan pelaksanaan projek itu turut menyifatkan kontraktor pembinaan terbabit bersikap malas.
“Saya cuma dapat menyuarakan ketidakpuasan hati disebabkan kelewatan jadual projek setelah sekian lama daripada 2016 sudah dijanjikan, kemudian kita faham pada 2018 bertukar kerajaan, dan projek itu dibatalkan.
“Alhamdulillah kerajaan negeri (mengambil alih) projek apabila Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah menggunakan dana kerajaan negeri sendiri untuk membangunkan jambatan ini, tetapi kita diperlakukan seperti ini oleh kontraktor yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini projek Jambatan Rambungan, Lundu selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Dan Berbuka Puasa Pusat Khidmat Adun Tanjong Datu Bersama Asnaf Zon Sematan di Kampung Trusan Jaya di sini pada Isnin.
Projek yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri itu sepatutnya siap pada tahun ini sebagai kesinambungan daripada lapan projek jambatan lain di seluruh Sarawak merupakan alternatif penghubung jalan pesisir.
“Sedikit rasa tidak puas hati di atas perkembangan disebabkan lapan buah jambatan lain sudah siap, Lebuhraya Pan Borneo (LPB) pun hampir siap, iaitu bagi jajaran Sematan hingga ke simpang Moyan akan siap hujung tahun ini.
“Sekiranya jambatan Rambungan belum lagi siap, ia kekal sebagai ‘missing link’ atau laluan terputus yang menghubungkan jajaran jalan pesisir, dengan kedudukan semasa, LPB siap pada 2023 serta lapan jambatan lain yang telah siap, sayangnya Jambatan Rambungan belum siap sehingga kini,” katanya.
Biarpun perit untuk diterima selain kecewa dengan kontraktor pembinaan, Azizul berharap projek itu dapat disiapkan segera yang ternyata memberi limpahan ekonomi kepada kawasan sekitarnya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak katanya sedang dalam proses penilaian untuk menamatkan perkhidmatan kontraktor sedia ada dan melantik kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek tersebut.
Jika perkhidmatan kontraktor dikekalkan, kata Azizul ia akan memberi implikasi buruk kepada kadar penyiapan projek yang mungkin akan berlarutan sehingga dua tahun lagi.
“Pada bulan yang lepas saya sudah bersama dengan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pelabuhan Aidel Lariwoo melawat ke pejabat tapak projek jambatan Rambungan dan difahamkan bahawa projek berkenaan berada dalam keadaan sakit tenat.
“Pada masa kini ia di dalam proses penamatan kontrak atau apa yang dipanggil sebagai penilaian untuk ditamatkan kontrak oleh JKR Sarawak, kita mungkin mencari kontraktor penyelamat,” katanya.
Untuk rekod projek tersebut bermula pada 17 Disember 2019 dan dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan atau pada 16 Disember 2022, namun disebabkan beberapa faktor, projek tersebut berdepan kelewatan.
Jambatan sepanjang 560 meter itu menelan kos sebanyak RM98.5 juta yang dibina oleh kontraktor tempatan dengan kerjasama syarikat dari China yang akan menggantikan penggunaan feri yang menghubungkan Kuching-Lundu-Sematan. -TVS