Mangsa yang terselamat dalam insiden bot terbalik dibawa ke jeti LKIM Belawai. Foto: APM Tanjung Manis

Bot terbalik, lima selamat seorang masih hilang

ByTVS

TANJUNG MANIS, 4 April: Lima selamat manakala seorang nelayan masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Belawai dekat sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching menerima aduan mengenai kejadian bot nelayan karam di sekitar 7 batu nautika barat laut perairan Tanjung Jerijeh pada 10.35 pagi.

Menerusi satu kenyataan malam ini, beliau berkata mangsa yang hilang ialah Wong Pak Wei, tekong bot malang itu.

Lima orang yang selamat terdiri daripada dua orang warganegara tempatan, dua orang warganegara Indonesia, seorang warga Myanmar dan kesemua mangsa adalah lelaki. 

Kesemua mangsa yang selamat telah dibawa ke Klinik Kesihatan Belawai untuk pemeriksaan lanjut.

Mangsa yang terselamat dibawa ke Jeti LKIM Belawai. Foto: APM Tanjung Manis

“Berdasarkan maklumat dari seorang mangsa yang selamat, mereka telah dibadai ribut sekitar pukul 6.30 petang semalam dan mengakibatkan bot yang dinaiki mereka terbalik. 

“Kelima-lima mangsa yang selamat sempat memakai jaket keselamatan dan berapung sehingga dijumpai bot nelayan berhampiran,” katanya.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan keadaan mendesak untuk ke laut. 

Komuniti maritim juga diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan. 

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis di 010-5063293 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544/ 432016 atau MERS 999.

Berita Berkaitan