Hampir 5,000 penerima bantuan JKM berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan – Nancy

Spread the love

KUCHING, 1 April: Hampir 5,000 penerima bantuan kebajikan kini keluar daripada kepompong kemiskinan serta mampu berdikari dan tidak lagi bergantung kepada bantuan kebajikan kerajaan, kata Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, khabar baik itu direkodkan kementeriannya menerusi Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Nancy memberitahu jumlah mereka yang berjaya itu antara yang menghadiri inisiatif 2 Years Exit Programme (2YEP).

“2YEP ini ia dalam masa dua tahun membantu mereka untuk berdikari. Kita baru sahaja bermula pada 2022, tetapi kita sudah berkesempatan melihat lebih 4,900 orang sudah tidak lagi menjadi penerima bantuan kebajikan dan ada lagi dalam proses.”

“Kita nak melihat kisah kejayaan kumpulan ini yang mana mereka ini dapat membantu orang lain juga,“ katanya ketika menyempurnakan Program Kasih Ramadan anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini, hari ini.

Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan sumbangan kepada 100 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf di Kampung Beradek, Kampung Sembilang dan Kampung Tiang Api, hari ini. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKM, Norazman Othman.

Program dengan kerjasama Kumpulan Sunway itu menyaksikan seramai 100 keluarga asnaf dari Kampung Beradek, Kampung Sembilang dan Kampung Tiang Api menerima bantuan bakul makanan.

Selain itu, ia juga menyaksikan ketiga-tiga buah kampung tersebut turut menerima sumbangan berbentuk kanopi, ‘public address (PA) system’, kerusi dan meja.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya menyeru penerima bantuan kebajikan untuk menyertai program tersebut dan tidak hanya menunggu bantuan dari pihak JKM sahaja.

“Kita tahu kita bukan Kementerian Perniagaan atau Keusahawanan, tetapi kita melihat kepada potensi, kalau kita bantu, memang ada peluang untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Siapa sahaja yang hanya mahu menerima bantuan kebajikan, semestinya mereka mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menjadi orang yang berjaya.

“Jadi ini yang kita mahu lihat dalam rakyat Malaysia, kita tidak mahu setiap tahun berlaku pertambahan dalam bantuan kebajikan, ia tidak baik untuk negara, “ ujarnya.

Jelas beliau, sehingga Disember 2022, keseluruhan penerima bantuan di Malaysia adalah seramai 533,167 penerima iaitu di Sarawak sahaja lebih daripada 40,000 penerima.

Berdasarkan rekod statistik JKM, peruntukan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM2.4 bilion. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.