600 bubur lambuk hasil ‘air tangan’ Toh Puan Raghad diagihkan kepada rakyat

Spread the love

KUCHING, 28 Mac: Penduduk Kampung Lintang di sini dan sekitarnya bertuah apabila berpeluang menikmati bubur lambuk hasil air tangan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Toh Puan Raghad bersama penduduk kampung, hari ini memasak bubur lambuk sempena Ramadan menerusi Program Jelajah Bubur Lambuk anjuran Yayasan Ragad.

Menurut Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Samariang, Abdul Baderi Sahmat, selain mengeratkan silaturahim, aktiviti itu secara tidak langsung membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam menyediakan juadah berbuka.

“Ini merupakan kunjungan pertama Toh Puan ke Kampung Lintang dan kami sangat bertuah kerana dipilih sebagai antara lokasi jelajah program ini.

“Saya berharap Toh Puan akan mengunjungi kawasan ini dengan lebih kerap pada masa hadapan dan menganjurkan pelbagai lagi program kemasyarakatan,” katanya berucap pada program berkenaan.

Katanya lagi, tradisi pengagihan bubur lambuk juga mempunyai nilai-nilai sosial dan budaya yang tinggi dalam kalangan penduduk setempat.

“Ia menjadi satu platform untuk memperkukuhkan hubungan sosial antara ahli komuniti dan meningkatkan kesatuan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya lagi.

 

Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib pada Program Jelajah Bubur Lambuk. Foto: Awang Azmil (TVS)

Menurut penduduk Kampung Lintang, Suhaili Suria, setiap tahun semasa Ramadan, mereka akan berkumpul menyediakan bubur lambuk dan memastikan ia dapat disalurkan kepada orang ramai dengan mudah.

“Proses penyediaan bubur lambuk biasanya melibatkan kerjasama dan sumbangan ahli-ahli masyarakat termasuk pengumpulan bahan-bahan mentah, pemprosesan dan penyediaan bubur lambuk dan pengagihan kepada orang ramai.

“Setelah bubur lambuk siap, ia akan dibahagikan secara percuma kepada orang ramai yang hadir di tempat-tempat tertentu seperti masjid, surau atau pusat komuniti. Tradisi memasak bubur lambuk bersama penduduk kampung merupakan aktiviti tahunan di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sherill Syafiqa berkata pengagihan bubur lambuk semasa Ramadan dianggap sebagai satu amalan yang baik.

“Bubur lambuk yang disediakan dan dikongsi dengan orang lain merupakan satu bentuk sedekah yang mulia dan dianggap sebagai satu amalan yang dianjurkan dalam Islam.

“Pengagihan bubur lambuk semasa bulan Ramadan adalah satu amalan yang baik dan dapat membawa banyak manfaat, baik dari segi keberkatan bulan Ramadan mahupun dari segi kebaikan dan pahala yang dapat diperoleh,” katanya lagi.

 

Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk kampung. Foto: Awang Azmil TVS

Sebanyak 600 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk sekitar Kampung Lintang, Petra Jaya, di sini, hari ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.