‘Yacutha’ mahu promosi Sarawak melalui koleksi rekaan terbaharu

Spread the love

KUCHING, 19 Mac: Pereka fesyen terkenal tempatan Yacub Taha atau lebih dikenali dengan nama ‘Yacutha’ mahu mempromosikan Sarawak melalui koleksi rekaan terbaharunya sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Yacutha anak kelahiran Kuching berkata, konsep kali ini turut menerapkan elemen-elemen yang menggambarkan serta mempromosikan nilai perpaduan kaum yang wujud di Sarawak.

“Saya menggunakan corak serta kain komersial yang dijual di Kuching. Saya mahu mempromosikan produk tempatan yang dijual di Kuching,” jelas beliau kepada media selepas pertunjukan fesyen koleksi ‘RaYacutha 2023’ di sini, hari ini.

Beliau berpendapat, fesyen merupakan satu perniagaan yang menjadi platform bagi mempromosikan produk Sarawak serta bakat pereka baharu di peringkat antarabangsa.

“Tanpa kita, tanpa anda, kami tiada sokongan. Kita mempunyai ramai pereka fesyen yang berbakat, cuma ia bergantung kepada bagaimana kita hendak mempromosikannya.

“Fesyen bukanlah untuk glamor semata-mata. Ia adalah satu perniagaan. Anda membuat rekaan dan anda jual. Bukan hanya untuk ditayangkan sahaja,” ujar beliau.

Katanya, koleksinya kali ini mengutamakan konsep ‘ready to wear’ atau mudah digaya dengan menggandingkan kepelbagaian corak, tekstil sambil mengekalkan imej ‘Yacutha’.

Selain itu, dia turut memberitahu, koleksinya kali ini diilhamkan oleh gaya kehidupan seharian kerana mahu menampilkan satu koleksi yang boleh digaya mengikut cita rasa pelanggannya sendiri.

“Saya menghasilkan sesuatu yang orang pakai. Pakaian yang anda boleh gayakan dengan pelbagai cara, mengikut cita rasa sendiri. Baju dari sepasang baju kurung boleh dijadikan gaun. Ia juga boleh digandingkan dengan tali pinggang ataupun seluar. Jadi rekaan Yacutha adalah serba boleh,” katanya.

Setakat ini, Yacutha telah menganjurkan kira-kira 4,000 pertunjukan fesyen tempatan sejak ‘Yacutha’ ditubuhkan lima tahun lalu.

Katanya, koleksi seterusnya akan berkonsepkan pakaian ‘resort’ yang akan diperagakan di Langkawi tidak lama lagi.

Untuk rekod, Yacutha mula menceburi bidang fesyen sejak berumur awal 20-an lagi dan mempunyai pengalaman luas dalam industri tersebut selama 18 tahun di London dan kembali ke tanah air pada 2017. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.