IPD Limbang bantu Hospital Limbang tampung keperluan darah

Spread the love

LIMBANG, 19 Mac: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang terus bekerjasama erat dengan pihak Hospital Limbang dalam membantu menyumbang bekalan darah pada Program Derma Darah yang diadakan hari ini.

Program Derma Darah yang diadakan sempena peringatan Hari Polis ke-216 IPD Limbang dengan kerjasama Stesen Shell Limbang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot di Limbang Plaza hari ini.

Program Derma Darah yang diadakan sempena peringatan Hari Polis ke-216 IPD Limbang di Limbang Plaza hari ini. Foto: TVS

Seramai 30 orang termasuk 10 pegawai dan anggota IPD Limbang dan 20 orang awam menjayakan program itu yang bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Parum berkata, program amal itu sebahagian program tahunan IPD Limbang sempena Sambutan Hari Polis ke-216.

Katanya, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan pihak Hospital Limbang dalam membantu menyumbangkan bekalan darah kepada Hospital Limbang, selain menyelamatkan nyawa orang awam.

“Program ini mampu menonjolkan kepada masyarakat bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga terlibat dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut sama pada program itu ialah Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Limbang, ASP Khairul Ridzuan Ahmad, Pegawai Kesihatan Hospital Limbang, Dr Dayanandan Dinakaran dan wakil Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Limbang, Sia Hock Hee. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.