Parlimen: Gangguan idMe KPM berpunca isu teknikal

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Rakyat dimaklumkan gangguan capaian Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan Malaysia (MOEIS) berlaku disebabkan oleh isu teknikal dan isu penggunaan sistem.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian menyedari bahawa terdapat gangguan capaian pada idMe dan MOEIS pada 19 Januari 2023 dan diselesaikan pada 11 Februari 2023.

Kata beliau, susulan itu, prestasi sistem terus dipantau bagi memastikan ia sentiasa beroperasi dengan baik serta meminimumkan gangguan capaian.

“KPM telah mengenal pasti punca masalah kepada keseluruhan sistem ini dengan mengambil kira pengurusan sistem secara keseluruhan serta kompetensi personel bagi memantapkan lagi pelaksanaan sistem tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (Pakatan Harapan – Bayan Baru) sama ada KPM akan melakukan audit teknikal ke atas idMe yang sering mengalami gangguan sehingga menyukarkan tugas guru.

Sementara itu, Fadhlina turut memaklumkan sehingga hari ini, sebanyak 89 peratus sekolah di seluruh negara telah selesai memasukkan data dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) di bawah MOEIS melalui idMe.

Baki sekolah pula kata beliau diberi pilihan untuk memasuki data samada melalui SPPB ataupun secara luar talian.

“Walaupun diberi pilihan, terdapat tiga negeri yang menggunakan SPPB 100 peratus iaitu Kelantan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan manakala Perlis mencapai 99 peratus pengisian ke dalam sistem tersebut,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.