Abang Johari wakaf RM1 juta kepada UNIMAS

Spread the love

KUCHING, 16 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi wakaf berjumlah RM1 Juta kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.

Menurut beliau pemberian wakaf terbabit bukan daripada beliau sendiri bahkan ia diserahkan oleh kerajaan Sarawak yang mewakili seluruh rakyat Sarawak.

“Saya serahkan wakaf RM1 juta ini kepada UNIMAS termasuk untuk membantu golongan memerlukan dari sudut kesihatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas merasmikan majlis Persidangan Antarabangsa Wakaf dan Endowmen 2023 (ICWE 2023), di Waterfront Hotel, pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap wakaf berkenaan akan memberi pulangan yang baik kepada rakyat Sarawak selepas ini.
 
“Definisi wakaf adalah meluas. Di Sarawak umpamanya kita hanya mewakafkan tanah, tidak ada wakaf dari sudut lain.”

“Jadi saya rasa, persidangan yang dianjurkan oleh UNIMAS ini akan memberikan kefahamanan yang lebih mendalam mengenai konsep wakaf dalam islam yang sudah tentunya tidak hanya fokus kepada satu sahaja, tetapi kepada bidang lain khususnya pengurusan aset.

“Ini kerana aset adalah satu perkara yang boleh memberi pulangan kepada institusi yang menguruskan wakaf,” jelasnya ketika disoal pemberita cadangan beliau kepada UNIMAS berhubung kegunaan wakaf itu.

Sekiranya pihak UNIMAS mengusahakan daripada sudut pertanian seperti tanah,  menurut beliau ia harus diusahakan kepada sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat.

“Dari sudut ini kita boleh wakafkan bidang tanah, tetapi tanah yang ada itu mesti dikerjakan. Jika tidak ianya adalah satu pembaziran,” tegas Abang Johari.

Foto: Akma Salleh (TVS).

Beliau pada masa sama, mencadangkan wakaf terbabit juga boleh digunakan sebagai sebahagian daripada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) pihak UNIMAS.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.