Sarawak bakal tubuh Pusat Perubahan Iklim

Spread the love

KUCHING, 15 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan Pusat Perubahan Iklim Sarawak bakal ditubuh bagi menyelaras perubahan iklim serta inistiatif perdagangan karbon.

Menurut beliau insiatif pembangunan pusat berkenaan akan mengurus, menyokong dan membimbing pembangunan dasar serta peraturan yang menggalakkan amalan mampan, termasuk tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, serta pengurusan perhutanan.

“Dengan penubuhan pusat itu, Sarawak boleh meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam perubahan iklim dan inisiatif perdagangan karbon di rantau ini serta menarik pelaburan dan bakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.”

“Bagaimanapun, Sarawak memerlukan kepimpinan, kepakaran dan sumber untuk mencapai matlamat bercita-cita tinggi ini yang akan melonjakkan Sarawak untuk menjadi peneraju dalam perubahan iklim dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis perasmian Persidangan Karbon Asia 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika disoal pemberita berhubung tempoh pusat itu dijangka siap, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri sedang merangka proses perundangan projek tersebut.

“Peraturan dan ketetapan undang-undang boleh menyediakan rangka kerja tertentu dan telus dalam memperhalusi proses Penangkapan dan Penyimpanan Karbon. Kita perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan antarabangsa untuk tujuan itu,” katanya lagi.

Menjelas lanjut, beliau meyakini setelah rangka kerja perundangan itu siap kelak, kerajaan negeri seterusnya akan memperoleh data untuk penubuhan pusat itu.

Sekiranya berjaya dibangunkan, menurut Abang Johari, Sarawak merupakan wilayah pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang bagi mengawal selia aktiviti karbon di wilayahnya melalui sektor tanah dan perhutanan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.